Serentak dengan itu, Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan bahawa gejala sosial yang menimpa golongan remaja di negara ini perlu dibendung dengan segera agar negara mempunyai bakal pemimpin pelapis yang berwibawa dan sihat.
Kata beliau, gejala sosial seperti penagihan dadah, penyakit Aids, pengaruh "black metal," kes juvana dan jenayah melibatkan golongan remaja yang bukan sahaja di peringkat sekolah menengah, tetapi juga di sekolah rendah.
"Walaupun insiden atau kes keruntuhan moral amat kecil di kalangan remaja...kita tidak boleh biarkan ia merebak sehingga membawa kepada perbuatan yang menyalahi undang-undang," tambahnya ketika berucap pada majlis Pelancaran Dasar Kesihatan Remaja Negara di Dewan Serbaguna Bandar Penawar di sini.
Katanya, sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia memerlukan tenaga muda yang baik dan sihat serta berilmu untuk terus membangunkan negara.
"Lebih 60 peratus penduduk negara ini terdiri daripada golongan muda dan belia, dan mereka merupakan aset yang bernilai kepada negara," katanya.
Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Belia Dan Sukan dan kementerian-kementerian yang lain sentiasa menjalankan rancangan dan program yang berfaedah bagi membimbing dan memberi latihan kepada golongan remaja dan belia di negara ini.
Abdullah berkata, usaha membimbing dan mendidik golongan remaja dan belia ini bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, malah ibu bapa, badan bukan kerajaan dan persatuan belia juga perlu bersama-sama menjalankan tanggungjawab membimbing golongan remaja.
"Kita mahu tenaga muda yang sihat, bertenaga, pandai, berilmu pengetahuan, baik tingkah laku, mengamalkan cara hidup sihat, berbudi bahasa dan bersemangat patriotik," katanya.
Beliau berkata, remaja kini amat bertuah berbanding dengan golongan remaja pada zaman dahulu kerana mereka dapat menikmati pelbagai kemudahan dan peluang bagi mencapai kejayaan diri.
Mengenai Dasar Kesihatan Remaja Negara, beliau berharap ia dapat menangani gejala sosial yang tidak sihat di kalangan remaja.
"Wawasan 2020 yang diaspirasikan oleh kerajaan tidak akan dapat direalisasikan oleh golongan pemimpin yang ada pada masa kini. Sebaliknya usaha itu akan dijayakan oleh generasi muda yang masih berada di bangku sekolah," katanya.
Dasar Kesihatan Remaja Negara meletakkan tujuh strategi iaitu penggalakan kesihatan, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sesuai dan mudah diperolehi, pembangunan sumber manusia, sistem maklumat kesihatan remaja, penyelidikan dan pembangunan, kerjasama strategik dengan agensi berkaitan dan perundangan.
Antara objektif dasar itu ialah untuk menyokong pembinaan golongan remaja yang bersemangat waja dengan menggalakkan cara hidup yang sihat dan bertanggungjawab, mencegah gejala kesihatan akibat tingkah laku berisiko dan menggalakkan penyertaan golongan remaja secara aktif dalam aktiviti penggalakan kesihatan dan pencegahan.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mohamad Taha Arif dan anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri.